Tuesday, April 27, 2010

Lata Belatan




Lata Belatan terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara.Ianya merangkumi kawasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan bandar Jerteh atau 103 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

      Bagi tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatmen 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur telah dimajukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985.

      Kawasan Hutan lipur Lata Belatan terdiri dari hutan asli jenis hutan Pamah Diptercorp. Ianya kaya dengan pokok-pokok jenis Diptercarp seperti Meranti dan Keruing yang melebihi 50% daripada komposisi hutan. Jenis-jenis bukan Diptercorp yang terdapat disini ialah Nyatoh, Kelat, Mersawa, Rengas, Kedondong dan lain-lain.

      Manakala dikawasan berbukit tinggi menghala ke puncak Gunung Tebu, terdiri daripada jenis Meranti, Balau Laut Merah. Dikawasan lereng-lereng bukit yang curam jenis-jenis yang lazim terdapat disini ialah Meranti Seraya, campuran Meranti Keruing dan juga sedikit jenis konifer seperti Podo dan Damar Minyak.

      Pembangunan Hutan Lipur Lata Belatan adalah berdasarkan pengurusan berkekalan dimana pembangunan yang dilaksanakan adalah berharmoni dengan alam sekitar. Konsep pembangunan yang bersesuaian dengan kawasan ini ialah "Forest Camping Holiday".

      Bagi mengekalkan keindahan semulajadi dan kejernihan air yang mengalir, 49 dan 50 dengan keluasan 403 hektar telah kekal di bawah pengelasan Hutan Rekreasi.

      Di antara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan disini ialah berehat sambil menikmati suasana keindahan alam semulajadi, berkelah secara bersendirian, bersama keluarga atau berkumpulan, berkhemah dan merentas hutan (jungle tracking).

      Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna, bolehlah mendaki ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut. Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikan kawasan ini.

      Kemudahan yang disediakan di sini ialah gerai makan, tandas awam, surau, pondok rehat, jambatan gantung, pondok pengawal dan tapak perkhemahan.

* dari Portal MDB
Saturday, October 24, 2009

SYURGA DI TENGAH LADANG

MUNGKIN ramai tidak akan menduga perjalanan hampir 1.5 kilometer merentasi ladang kelapa sawit menuju Peladang Setiu Agrotourism & Resort (PSAR) berbaloi kerana mereka bakal menemui destinasi percutian menyeronokkan.

Pengalaman bercuti di sini pasti meninggalkan kenangan manis yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Betapa tidak, resort yang terletak di mukim Guntung, Setiu, Terengganu itu pastinya memikat hati pengunjung dengan konsep agropelancongan atau pelancongan pertanian.

Pengunjung boleh meneroka taman herba, ladang kelapa sawit serta dusun pelbagai jenis buah, sekali gus menjadikan ia produk pelancongan unik di Malaysia.

Pengurusnya, Ahmad Sanusi Ibrahim, destinasi percutian di atas tanah ladang seluas 280 hektar itu menawarkan peluang menyertai 14 aktiviti rekreasi dikelilingi suasana damai bersebelahan dengan hutan simpan Gunung Tebu.

Pernah menerima kritikan hebat dan dianggap projek menempah kerugian, PSAR yang dibina di kawasan terpencil kini tidak menang tangan mengendalikan kunjungan pelancong tempatan dan asing.

"Mungkin ini kerana kami menjanjikan percutian dalam suasana damai dan udara segar pedalaman. Acara lasak juga menyebabkan ramai memilih untuk bermalam di sini," katanya.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu bersantai atau memenuhi masa dengan menyertai aktiviti berpandu dengan bantuan tenaga pengajar yang profesional.

Ini termasuk aktiviti riadah seperti 'river crossing' atau menyeberang sungai, berkayak di tasik selain aktiviti merentas denai hutan sambil menikmati keindahan landskap semula jadi.

Pengunjung boleh mengunjungi Taman Herba menempatkan lebih 120 spesies seperti tongkat ali, kacip fatimah, gajah merawan, aji samat, mas cotek dan ginseng malam.

Sebahagian besar daripada herba ini yang kini dikomersialkan sebagai produk makanan kesihatan boleh ditemui tumbuh liar di hutan simpan Gunung Tebu.

Justeru, tidak hairan herba seperti kacip fatimah dan serapat untuk wanita manakala tongkat ali dan akar ginseng amat popular sebagai buah tangan popular di kalangan pelancong.

Taman Mini Unggas bersebelahan Taman Herba tidak kurang menarik untuk dikunjungi.

Haiwan eksotik seperti burung kuang, merak, arnab, ayam sutera dan ayam belanda boleh ditemui di sini.

Menariknya, kebanyakan haiwan peliharaan kecuali kambing di situ ditangkap di hutan berhampiran, manakala ada yang tersesat masuk ke dalam kawasan PSAR.

Namun, paling mencuri perhatian adalah tarikan dusun buah-buahan seluas 50 hektar yang menawarkan durian, dukung, rambutan, manggis dan salak terutama sepanjang Julai hingga September ini.

Selain aktiviti sukan air, ada pengunjung memilih memancing di kolam ikan dengan misi menaikkan ikan patin seberat lima kilogram yang dikatakan menghuni kolam.

Hidangan disajikan juga lebih istimewa apabila kebanyakan bahan diambil dari taman dimasak mengikut selera kampung seperti gulai lemak, asam pedas, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Ahmad Sanusi berkata, tarikan serba lengkap meliputi taman herba, dusun buah-buahan dan zoo mini itu menyebabkan resort berkenaan begitu popular di kalangan pelancong ke Setiu.

"Kami bukan saja menarik pencinta alam, malah pelajar dan orang awam yang berminat mengenai manfaat dan kebaikan tumbuhan herba yang lazimnya didapati dalam hutan di seluruh Malaysia," katanya.

Selepas berpenat lelah dengan pelbagai aktiviti padat, tetapi menyeronokkan pada waktu siang, anda boleh menyambungnya dengan mengikuti acara merentas denai dan 'burung hantu' pada malam hari.

Namun, jika badan sudah penat, pengunjung boleh bersantai dengan berkaraoke bersama teman sambil menikmati kopi panas di Agro Cafe.

Info
  • PSAR menjadi lokasi sesuai untuk aktiviti latihan berkumpulan atau kem bina semangat selain aktiviti lebih mencabar termasuk survival yang amat popular di kalangan penuntut universiti dan pelajar sekolah.

  • Ia menawarkan 31 chalet dan lima dorm dikelilingi ladang kelapa sawit selain kem, dusun buah-buahan, kolam ternakan ikan air tawar, tapak perkhemahan dan kawasan lapang untuk pelbagai acara.

  • Ia dapat disertai dengan pakej menarik ditawarkan pada harga serendah RM89 sehingga RM390, semuanya bergantung kepada citarasa, kesesuaian dan keperluan pengunjung.

  • Mereka yang gemar percutian ringkas dan lebih santai boleh melepak di beberapa kolam renang yang sesuai untuk kegunaan kanak-kanak.

  • Mereka berminat mengadakan kursus boleh menggunakan empat bilik seminar dengan kapasiti 250 orang pada satu-satu masa. Untuk Maklumat lanjut, layari www.agroresort.com.
Friday, October 23, 2009

IKAN SUMPIT BUAH, IKAN PALING MALAS

TERJEMAHAN terus kepada bahasa Melayu, "Hole in the Wall" membawa maksud lubang di dinding.

Namun di Langkawi, ungkapan itu adalah panggilan kepada laluan sempit di muara Sungai Kilim sebelum ia bertemu Laut Andaman yang menyimpan khazanah alam semula jadi hutan paya bakau.
Hutan paya laut dan sungai itu kini menjadi salah satu komponen utama Kilim Geoforest Park.

Hari ini, kebanyakan pelancong singgah untuk menikmati makanan laut segar di restoran terapung yang dibekalkan dari kolam ternakan dalam sangkar di sungai itu.

Ada beberapa kolam dan restoran, namun semua menjanjikan pelbagai jenis ikan, udang, atau ketam. Chef yang juga anak jati pulau sedia memasak mengikut cita rasa pelanggan termasuk Thai.

Lawatan ke kolam mungkin kedengaran membosankan. Namun, tanggapan itu berubah apabila mengenali pelbagai spesies unik yang tidak dijual di pasar raya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui ikan sumpit, spesies ikan dengan ciri unik menyumpit air ke sasaran iaitu buah atau makanan di daratan.

Lebih melucukan, pengunjung dapat melihat spesies ikan terlampau malas yang tidak akan mendapatkan makanan yang tidak dilemparkan jauh sedikit dari mulutnya.

Menariknya, kawasan sekitar kolam ini turut menjadi pelabuhan kepada pemilik kapal layar yang berlabuh sementara meneruskan pelayaran mereka.

Ini kerana laluan ini yang dikelilingi bukit batu kapur sekali gus menjadikannya lokasi terbaik untuk berlindung dari cuaca tidak menentu di tengah laut.

Pemiliknya, rata-rata warga Eropah yang sudah berkeluarga menjalani kehidupan dalam ruang kecil dalam kapal layar.

Menurut salah seorang pemilik kolam ternakan, ada penduduk tempatan diupah menjaga bot dan kapal ini sementara pemiliknya kembali bercuti ke pulau ini.

Jika ada berhasrat mencuba pengalaman kehidupan ringkas di tengah laut, anda boleh bermalam rumah bot di muara sungai.

"Namun, tempahan awal diperlukan kerana ia sudah popular di kalangan pengembara warga asing lantaran kadar murah iaitu kira-kira RM50 semalam," katanya.

Gua Kelawar

Kunjungan ke Sungai Kilim bagaimanapun tidak lengkap jika anda tidak singgah ke Gua Kelawar, kira-kira 10 minit perjalanan dari jeti berhampiran Galeria Perdana.

Perlu diingatkan, pakaian sesuai diperlukan kerana keadaan gua yang agak hamis kerana dihuni ribuan kelawar, selain lampu picit untuk melihat aktiviti hidupan ini dari jarak dekat.

Ada dua gua utama di sini, yang pertama agak kecil dengan keluasan sekitar 270 meter (m) persegi dan bumbung lebih rendah (sekitar tiga m). Perkara yang menarik apabila melewati gua pertama ini, anda boleh menemui kulit siput dan cengkerang yang bertaburan di dinding dan siling gua.

Menurut pemandu pelancong kami, ini kerana gua itu adalah dasar sungai yang berpasir sebelum terangkat menjadi daratan jutaan tahun lalu.

Gua kedua lebih luas, kira-kira 750 m persegi dan memiliki siling setinggi 10m. Ia berbentuk seperti terowong sepanjang kira-kira 60m.

Boleh dimasuki menerusi bahagian utara dan selatan, ia turut memiliki pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit mengkagumkan.

Ada pelbagai spesies kelawar yang mendiami dinding gua, namun sukar untuk meneka apabila ribuan hidupan ini berterbangan di atas kepala.

Hidupan Liar

Lazimnya, kebanyakan pemandu pelancong membawa pengunjung berkenalan dengan pelbagai spesies bakau sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Kilim.

Jika langkah kanan, pengunjung dapat melihat memerang, burung raja udang dan helang laut yang menghuni hutan paya laut ini.

Ada kalanya dapat menyaksikan ikan lumba-lumba seakan bermain mengejar alunan ombak kecil ditinggalkan deruan enjin bot.

Namun, tarikan utama di Sungai Kilim adalah menyaksikan puluhan helang terbang dari sebalik bukit batu kapur untuk "menjamu rezeki" di bawa pengunjung.

Kumpulan helang ini dapat dilihat dari jarak dekat terbang rendah untuk mendapatkan daging di permukaan air.

Ada juga pelancong yang memilih untuk berkayak semata-mata mahu menghampiri kumpulan helang ini yang menjadi tarikan pelancongan utama sungai ini.

Tarikan lain

Lazimnya, selepas Sungai Kilim, pengunjung akan dibawa dunia baru untuk meneroka gugusan pulau kecil yang membentuk Langkawi.

Semuanya kecuali pulau utama Langkawi dan Pulau Tuba, tidak berpenghuni, namun menjanjikan pelbagai jenis tarikan untuk diterokai.

Tasik Dayang Bunting adalah komponen utama Dayang Bunting Marble Geoforest Park menyimpan marmar terbaik di dunia.

Pengunjung perlu merentas denai sebelum dapat menikmati pemandangan indah tasik air hijau terbentuk dari runtuhan gua batu kapur sedalam bangunan empat tingkat ini!

Namun, luangkan juga masa untuk meneroka pulau kecil terbentuk 220 juta tahun lalu seperti Lima, Tuba, Bumbun, Singa Besar, Singa Kecil dan Jong.

Setiap satunya menawarkan landskap geologi menarik sesuai dengan formasi batuan pelbagai bentuk seperti kapal dan muka manusia.

Pulau Langgun pula menjadi tumpuan pelancong yang mahu bermalam di tapak perkhemahan dan keindahan tasiknya.

Info
  • Lawatan ke Geoforest Park Kilim diaturkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). Maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan di Kilim Geoforest Park, layari www.lada.gov.my.

SONGKRAN atau tahun baru mengikut kalendar masyarakat Siam adalah pesta utama disambut meriah penduduk Thailand, pertengahan April setiap tahun.

Warisan budaya ini kini menjadi antara tarikan pelancongan utama negara gajah putih itu.
Tanpa mereka sedari, perayaan itu juga disambut penuh tradisi di wat utama di Tumpat, Kelantan.

Walaupun perayaan ini berbentuk agama kini ia lebih komersial dengan pesta menjirus air dan membaling tepung selain persembahan hiburan.

Setiap tahun, sambutan Pesta Songkran di Tumpat menarik ribuan pengunjung. Warga Thai sanggup menyeberang sempadan untuk merasai kemeriahan sambutan tahun baru ini.

Berbeza dengan penduduk Thailand, masyarakat Siam kelahiran Malaysia bertutur menggunakan dialek Tak Bai, sempena nama pekan kecil di wilayah Narathiwat, di selatan negara jiran itu.

Kebanyakan daripada mereka mengamalkan ajaran Buddha seperti di Thailand yang dapat disaksikan menerusi beberapa wat utama yang dibina di Tumpat.

Kampung Bukit Tanah di Tumpat pula menempatkan kuil bot naga atau Wat Mai Suvankhiri yang dibina atas tapak seluas empat hektar.

Kompleks ini memiliki dua bangunan utama dengan kuil utama dihiasi replika bot naga yang besar. Dua naga menjadi penjaga di pintu masuk, setiap satunya sepanjang 150 kaki panjang menjadi tarikan utama pengunjung ke tokong ini.

Jika berhasrat melawat di wat di kawasan Tumpat ini, pastikan anda tarikh lawatan anda kena pada perayaan untuk merasai sendiri pengalaman menyambut tahun baru Thai atau Songkran di negara sendiri.

INFO

  • Budaya masyarakat Siam turut diserap kepada cara hidup Melayu Kelantan menerusi makanan seperti cholek, sajian yang dimakan dengan sos seperti cholek ayam, cholek perut, cholek pelepong dan paling popular, cholek buah-buahan seperti mangga.

  • Som tam pula adalah salad betik yang memiliki gabungan rasa masin, masam dan pedas. Ramuan utama digunakan termasuk sos soya, betik muda, kacang tanah, sos ikan, cili dan perahan limau. Semua ditumbuk dalam lesung menghasilkan sajian pelbagai rasa.

  • Pertunjukan seni berasal dari Siam yang dikatakan memiliki unsur pemujaan seperti main puteri dan menora tidak dibenar dipertontonkan kepada awam. Namun, ada mengatakan ia masih boleh ditonton dalam kumpulan kecil di kawasan pedalaman.

  • Selain wat, Kelantan turut memiliki kuil berusia lebih 500 tahun dibina pendatang Hakka terawal di Kelantan. Festival selama sebulan ini diadakan sekitar Mac menarik kunjungan pelancong ke kawasan perkampungan dekat bandar Gua Musang ini.


RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia Kelantan
Tel: 09-747 7554
Faks: 09-747 8010
E-mel: mtpb.kelantan@tourism.gov.my
www.tourism.gov.my
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
BIARPUN aliran bertudung dengan bahagian hadapannya keras (awning) semakin rancak, masih ramai yang tidak berani menggayakan fesyen berkenaan kerana merasakan tudung jenis itu tidak sesuai dengan wajah mereka.

Bagaimanapun, tudung awning yang ketika kemunculan awalnya mempunyai bahagian hadapan yang agak tebal, semakin mendapat perhatian selepas diubahsuai mengikut cita rasa masyarakat tempatan. Selain mudah diurus dan menjimatkan masa untuk bersiap, tudung trend terkini itu turut menambahkan keanggunan wanita bertudung.

Dezahra Fashion & Design, butik muslimah menyediakan koleksi tudung terkini yang eksklusif dari pelbagai pilihan. Mementingkan keselesaan dan kehendak pelanggan, fabrik likra dari kualiti paling tinggi dipertaruhkan manakala corak pada fabrik diilhamkan sendiri oleh Dezahra bagi membezakan ia dengan rekaan tudung pengeluar lain.

Selepas membuat kajian dan hasil maklum balas pelanggan, bahagian hadapan tudung Dezahra direka supaya sesuai dengan pelbagai bentuk wajah. Secara automatik, bahagian hadapan tudung keluaran Dezahra juga mampu mencantikkan bentuk muka pemakai.

Hadir dalam banyak rona cerah dan ceria, tudung likra bermotif ini mudah dipadankan dengan pakaian rona polos. Semua tudung keluaran Dezahra berpotongan melepasi dada. Bagaimanapun, untuk mereka yang memakai uniform kerja, tudung mini yang mudah digayakan turut disediakan.

Dezahra turut menawarkan pelbagai potongan lain, misalnya Tudung Sarah daripada fabrik bercorak atau polos, Tudung Rayhanah yang direka ala tudung Syria tetapi diubahsuai mengikut kehendak pelanggan.

Tudung Hajjah pula lebih labuh manakala Tudung Fatihah adalah tudung pusing yang terbentuk lengkuk di bahagian hadapan apabila digayakan. Keterangan lanjut, layari www. zahra-fashion.com.