Saturday, October 24, 2009

SYURGA DI TENGAH LADANG

MUNGKIN ramai tidak akan menduga perjalanan hampir 1.5 kilometer merentasi ladang kelapa sawit menuju Peladang Setiu Agrotourism & Resort (PSAR) berbaloi kerana mereka bakal menemui destinasi percutian menyeronokkan.

Pengalaman bercuti di sini pasti meninggalkan kenangan manis yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Betapa tidak, resort yang terletak di mukim Guntung, Setiu, Terengganu itu pastinya memikat hati pengunjung dengan konsep agropelancongan atau pelancongan pertanian.

Pengunjung boleh meneroka taman herba, ladang kelapa sawit serta dusun pelbagai jenis buah, sekali gus menjadikan ia produk pelancongan unik di Malaysia.

Pengurusnya, Ahmad Sanusi Ibrahim, destinasi percutian di atas tanah ladang seluas 280 hektar itu menawarkan peluang menyertai 14 aktiviti rekreasi dikelilingi suasana damai bersebelahan dengan hutan simpan Gunung Tebu.

Pernah menerima kritikan hebat dan dianggap projek menempah kerugian, PSAR yang dibina di kawasan terpencil kini tidak menang tangan mengendalikan kunjungan pelancong tempatan dan asing.

"Mungkin ini kerana kami menjanjikan percutian dalam suasana damai dan udara segar pedalaman. Acara lasak juga menyebabkan ramai memilih untuk bermalam di sini," katanya.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu bersantai atau memenuhi masa dengan menyertai aktiviti berpandu dengan bantuan tenaga pengajar yang profesional.

Ini termasuk aktiviti riadah seperti 'river crossing' atau menyeberang sungai, berkayak di tasik selain aktiviti merentas denai hutan sambil menikmati keindahan landskap semula jadi.

Pengunjung boleh mengunjungi Taman Herba menempatkan lebih 120 spesies seperti tongkat ali, kacip fatimah, gajah merawan, aji samat, mas cotek dan ginseng malam.

Sebahagian besar daripada herba ini yang kini dikomersialkan sebagai produk makanan kesihatan boleh ditemui tumbuh liar di hutan simpan Gunung Tebu.

Justeru, tidak hairan herba seperti kacip fatimah dan serapat untuk wanita manakala tongkat ali dan akar ginseng amat popular sebagai buah tangan popular di kalangan pelancong.

Taman Mini Unggas bersebelahan Taman Herba tidak kurang menarik untuk dikunjungi.

Haiwan eksotik seperti burung kuang, merak, arnab, ayam sutera dan ayam belanda boleh ditemui di sini.

Menariknya, kebanyakan haiwan peliharaan kecuali kambing di situ ditangkap di hutan berhampiran, manakala ada yang tersesat masuk ke dalam kawasan PSAR.

Namun, paling mencuri perhatian adalah tarikan dusun buah-buahan seluas 50 hektar yang menawarkan durian, dukung, rambutan, manggis dan salak terutama sepanjang Julai hingga September ini.

Selain aktiviti sukan air, ada pengunjung memilih memancing di kolam ikan dengan misi menaikkan ikan patin seberat lima kilogram yang dikatakan menghuni kolam.

Hidangan disajikan juga lebih istimewa apabila kebanyakan bahan diambil dari taman dimasak mengikut selera kampung seperti gulai lemak, asam pedas, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Ahmad Sanusi berkata, tarikan serba lengkap meliputi taman herba, dusun buah-buahan dan zoo mini itu menyebabkan resort berkenaan begitu popular di kalangan pelancong ke Setiu.

"Kami bukan saja menarik pencinta alam, malah pelajar dan orang awam yang berminat mengenai manfaat dan kebaikan tumbuhan herba yang lazimnya didapati dalam hutan di seluruh Malaysia," katanya.

Selepas berpenat lelah dengan pelbagai aktiviti padat, tetapi menyeronokkan pada waktu siang, anda boleh menyambungnya dengan mengikuti acara merentas denai dan 'burung hantu' pada malam hari.

Namun, jika badan sudah penat, pengunjung boleh bersantai dengan berkaraoke bersama teman sambil menikmati kopi panas di Agro Cafe.

Info
  • PSAR menjadi lokasi sesuai untuk aktiviti latihan berkumpulan atau kem bina semangat selain aktiviti lebih mencabar termasuk survival yang amat popular di kalangan penuntut universiti dan pelajar sekolah.

  • Ia menawarkan 31 chalet dan lima dorm dikelilingi ladang kelapa sawit selain kem, dusun buah-buahan, kolam ternakan ikan air tawar, tapak perkhemahan dan kawasan lapang untuk pelbagai acara.

  • Ia dapat disertai dengan pakej menarik ditawarkan pada harga serendah RM89 sehingga RM390, semuanya bergantung kepada citarasa, kesesuaian dan keperluan pengunjung.

  • Mereka yang gemar percutian ringkas dan lebih santai boleh melepak di beberapa kolam renang yang sesuai untuk kegunaan kanak-kanak.

  • Mereka berminat mengadakan kursus boleh menggunakan empat bilik seminar dengan kapasiti 250 orang pada satu-satu masa. Untuk Maklumat lanjut, layari www.agroresort.com.

0 comments:

Post a Comment